Peribahasa

Peribahasa merupakan ayat atau rangkaian kata yang membawa maksud tertentu, berkias, berlapik dan tersirat. Dalam bahasa Melayu, peribahasa terdiri daripada:

  1. simpulan bahasa
  2. pepatah
  3. perumpamaan
  4. bidalan

Terdapat juga kata-kata hikmat, yang bukan sejenis peribahasa, namun digunakan sebagai ungkapan menarik yang mampu menyatakan sesuatu nasihat.

Simpulan bahasa

Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang lazimnya terdiri daripada dua patah perkataan. Maksud simpulan bahasa yang dibentuk berbeza daripada makna perkataan yang membentuknya. Tamsilnya:

cakar ayam
makan angin
berat tulang
kepala batu

Pepatah

Pepatah ialah ungkapan yang menyatakan unsur-unsur pengajaran atau nasihat. Secara umumnya, pepatah terdiri daripada rangkai kata yang berkerat-kerat dan berkait-kait.

masuk telinga kanan, keluar telinga kiri
sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain
carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga

Perumpamaan

Perumpamaan ialah ungkapan yang membuat perbandingan sesuatu dengan yang lain. Secara biasanya, kata sendi nama, seperti, bagai, ibarat, laksana atau umpama, akan digunakan.

bagai pinang dibelah dua
seperti mencurah garam ke laut
laksana layang-layang melawan angin

Bidalan

Bidalan ialah peribahasa yang mengandungi nasihat atau pengajaran, dan membawa maksud selapis sahaja. Bidalan digunakan untuk menyampaikan sindiran dan peringatan.

baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang
air yang tenang jangan disangka tiada buaya
ukur baju di badan sendiri