Latihan Mendengar BM: Raja Bersiong

Arahan: Sila tekan video di bawah dan dengar rakamannya dengan teliti. Soalan-soalan akan diperlihatkan sebelum maklumat atau petikan diperdengarkan. Petikan tersebut akan diperdengarkan sebanyak dua kali. Anda dikehendaki mendengar rakaman tersebut dengan teliti dan menjawab soalan-soalan yang diberikan.

Rakaman (Youtube)

Rakaman Latihan Mendengar BM (Cerita: Raja Bersiong) Youtube

Soalan

  1. Manakah latar tempat kisah ini?
  2. Nyatakan satu kata ganda berimbuhan yang terdapat dalam rakaman audio.
  3. Apakah yang terjadi kepada sayur bayam Raja Bersiong sehingga baginda berkenan?
  4. Apakah maksud kedua-dua istilah bahasa istana ‘bertitah’ dan ‘santapan’?
  5. Apakah perasaan tukang masak ketika disiasat oleh Raja Bersiong?
  6. Yang manakah paling hampir sama masksud dengan perkataan ‘kezaliman’? (keseksaan / kebengisan / kepayahan / keuzuran)
  7. Antara haiwan berikut, yang manakah menyerupai gigi Raja Bersiong? (gajah / anjing / jerung / kelawar)
  8. Yang manakah deskripsi paling tepat untuk Raja Bersiong sebagai seorang pemerintah? (diktator yang kejam / pemimpin yang mengawal diri / pemerintah yang pengasih / ketua yang berperikemanusiaan)
  9. Nyatakan sebab para pembesar berhimpun secara serta-merta.
  10. Kesudahannya, apakah nasib Raja Bersiong?

Skrip

Klik sini untuk melihat skrip Raja Bersiong

Ada kisah berkenaan dengan negeri Kedah lama yang diperintah oleh Raja Bersiong. Menurut kisah itu, baginda memiliki rupa yang garang dan ditakuti rakyatnya. Setiap kemahuan dan keinginan Raja Bersiong mesti dipenuhi sehingga tiada sesiapa pun yang berani membantah hasrat baginda.

Pada suatu hari, Raja Bersiong yang kelaparan bertitah kepada tukang masaknya, “Cepatlah sediakan santapan untuk beta.”

Tukang masak pun menyediakan sayur dengan gopoh-gapah. Tiba-tiba dia terhiris jarinya sehingga beberapa titik darah menitis ke dalam sayur bayam.

Selepas sayur itu dihidangkan, Raja Bersiong pun bertitah, “Beta tidak pernah santap sayur bayam seenak ini!” Baginda memerintah tukang masak untuk menjelaskan sebab sayurnya sedap nian.

Kendatipun tukang masak amat gelisah. Dia pun terpaksa menceritakan kejadian yang berlaku di dapur kepada Raja Bersiong. “Sebenarnya, sayur bayam tuanku bercampur dengan darah patik,” kata tukang masak dengan suara yang tergagap-gagap.

Sejak itu, Raja Bersiong terus menggemari dan mengidamkan perisa darah manusia. Tiap-tiap hari, ada sahaja orang dibunuh untuk mendapatkan darah mereka.

Tabiat itu tidak dapat ditinggalkan oleh Raja Bersiong sehingga baginda sanggup membunuh rakyat jelata untuk memenuhi hasratnya.

Dengan berlalunya masa, gigi baginda menjadi panjang seperti siung.

Pada suatu hari, pembesar-pembesar istana bersidang.

Para pembesar berganding bahu untuk membuat rancangan tindakan yang patut diambil agar rakyat tidak hidup dalam ketakutan dan kezaliman lagi.

Seterusnya, mereka mengajak rakyat sama-sama menyerang istana dengan penuh semangat.

Ketika Raja Bersiong mendapati rakyatnya telah memberontak, baginda tidak berani pulang ke istana dan membuat keputusan untuk melarikan diri ke dalam hutan.

Jawapan

Klik sini untuk melihat jawapan
  1. Latar tempat kisah ini ialah negeri Kedah (lama).
  2. tergagap-gagap
  3. Tukang masak terhiris jarinya sehingga beberapa titik darah menitis ke dalam sayur bayam.
  4. Maksud ‘bertitah’ ialah berkata. Maksud ‘santapan’ ialah makanan.
  5. Tukang masak berasa amat gelisah ketika disiasat oleh Raja Bersiong.
  6. kebengisan
  7. kelawar
  8. diktator yang kejam
  9. Para pembesar berhimpun untuk membuat rancangan tindakan yang patut diambil agar rakyat tidak hidup dalam ketakutan dan kezaliman lagi.
  10. Raja Bersiong melarikan diri ke dalam hutan dan kemudiannya memperisteri seorang gadis tempatan, lalu memulakan kehidupannya semula di sebuah kampung pedalaman.

Nota kaki

Latihan ini sesuai untuk sekalian penutur bahasa Melayu, khususnya pelajar yang hendak menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Bahasa Melayu Kertas 4 (1103/4 Kemahiran Mendengar).