Kata Penguat
Kata penguat ialah sejenis kata tugas yang menguatkan atau meninggikan makna kata adjektif. Dari segi kedudukannya relatif dengan kata adjekitf dalam ayat, terdapat tiga jenis kata penguat.
Kata penguat hadapan
Kata penguat hadapan terletak di hadapan kata adjektif.
agak
cukup
kurang
makin
paling
terlalu
Contohnya:
Selepas seharian bekerja, ibu agak penat.
Kata penguat belakang
Kata penguat belakang hadir di bahagian belakang kata adjektif.
benar
betul
nian
sekali
Contohnya:
Amboi, nyaman betul udara sini!
Kata penguat bebas
Kata penguat bebas mampu terletak di hadapan ataupun di belakang kata adjektif.
amat
sangat
sungguh
Contohnya:
Adik amat kurus.
Adik kurus amat.