Kata Penegas

Kata penegas, atau juga dikenali sebagai partikel atau kata penyerta ialah sejenis kata tugas yang memberikan penekanan pada bahagian tertentu dalam ayat.

Kata penegas pascafrasa

Terdapat kata penegas yang memiliki bentuk pascafrasa untuk menegaskan frasa predikat. Ketika subgolongan kata penegas pascafrasa ini digunakan, frasa predikat yang ditegaskan itu sepatutnya mengalami proses pendepanan (kedudukannya dalam ayat adalah di bahagian hadapan). Subgolongan ini termasuk -kah, -lah dan -tah.

-kah

Kata penegas -kah terletak pada akhir frasa atau kata, untuk menyatakan pertanyaan.

Bilakah hari lahir kamu?
Mengapakah tombol pintu ini longgar?

-lah

Kata penegas -lah pun terletak pada akhir frasa atau kata, untuk menguatkan atau mengeraskan maksud frasa atau kata tersebut.

Marilah sini.
Anjing itulah yang menggigit saya.

-tah

Kata penegas -tah mampu menyatakan pertanyaan pada diri sendiri.

Saanvi yang pandai itu tidak dapat menjawab soalan matematik itu, apatah lagi aku.

Kata penegas bebas

Terdapat juga kata penegas yang bersifat bebas dari segi kedudukannya dalam kalimat, dan mampu menegaskan frasa predikat mahupun subjek. Subgolongan ini termasuklah juga, jua, lagi, memang, pun, hanya, sahaja.

Benda itu terdapat juga di atas meja.
Hanya dia yang tahu rahsia aku.