Kata Pemeri
Kata pemeri ialah kata tugas yang berfungsi sebagai pemerihal atau penghubung antara subjek dengan predikat. Terdapat dua kata pemeri, iaitu ialah dan adalah.
Ialah
Ialah diikuti oleh kata nama.
Budak yang menggalas beg itu ialah adik saya.
Pada umumnya, kata pemeri ialah tidak dapat digunakan bersama-sama golongan kata kerja. Oleh itu, kedua-dua baris ayat di bawah adalah tidak gramatis.
Dia ialah* berlari.
Dia adalah* berlari.
Namun begitu, kata pemeri ialah boleh diikuti kata kerja jikalau kata kerja tersebut berfungsi sebagai frasa nama dalam ayat. Contohnya:
Hobinya ialah berlari.
Adalah
Adalah diikuti oleh kata adjektif ataupun kata sendi nama.
Cuaca hari ini adalah redup.
Dasar yang baru dikemukakan oleh kerajaan ini adalah untuk memanfaatkan golongan miskin.
Kata pemeri adalah juga dapat diikuti oleh kata nafi ‘tidak’ lagi kata adjektif, untuk menunjukkan makna negatif.
Situasi di negara tersebut adalah tidak stabil.