Kata Nama

Kata nama merupakan perkataan yang menamakan berbagai-bagai entiti, seperti manusia, binatang, benda, tempat, institusi dan perkara abstrak. Dalam bahasa Melayu, kata nama boleh dikategorikan berdasarkan (i) makna perkataan mahupun (ii) pembentukannya.

Penggolongan berdasarkan makna

Kata nama am

Kata nama am ialah perkataan yang merujuk kepada orang, binatang, benda atau konsep secara umumnya.

bendera
jam tangan

sayur-mayur

Kata nama khas

Kata nama khas merujuk kepada nama entiti yang tertentu. Huruf pertama kata nama khas akan ditulis dengan huruf besar.

Encik Mohamed
Petaling Jaya
Ferrari

Morfologi Kata Nama
Morfologi Kata Nama

Penggolongan berdasarkan pembentukan

Kata nama tunggal

Kata nama tunggal terdiri daripada satu perkataan sahaja.

bumi
polis
cendaramata
patriotisme

Kata nama majmuk

Kata nama majmuk terhasil daripada proses pemajmukan antara dua kata dasar atau lebih. Dalam bahasa Melayu, kebanyakan kata nama majmuk dieja secara berpisah.

guru besar
balai raya
rukun tetangga
segi empat tepat

Walau bagaimanapun, ada sesetengah kata nama majmuk yang bentuknya dianggap sudah mantap dan mesti dieja sebagai satu perkataan sahaja.

antarabangsa
bumiputera
jawatankuasa
kakitangan
kerjasama
matahari
olahraga
pesuruhjaya
setiausaha
sukarela
suruhanjaya
tandatangan
tanggungjawab

warganegara

Kata nama terbitan

Kata nama terbitan terhasil daripada proses pengimbuhan dan boleh berasal daripada kata nama tunggal mahupun kata nama majmuk atau rangkaian kata.

pemburu
kedatangan
pedalaman

Ketika kata nama majmuk bergabung dengan imbuhan awalan atau imbuhan akhiran, unsurnya akan dieja secara berpisah.

daya serapan (daya serap)

Ketika kata nama majmuk atau rangkaian kata menerima imbuhan apitan, perkataannya akan dieja secara bercantum.

keibubapaan (ibu bapa)

Kata nama ganda

Kata nama ganda terhasil daripada proses penggandaan.

kanak-kanak
sesiku
saudara-mara