Kata Nafi

Kata nafi ialah jenis kata tugas yang bermaksud negatif. Ada dua jenis kata nafi, iaitu bukan dan tidak.

Bukan

Kata bukan diikuti kata nama atau kata sendi nama.

Wanita itu bukan ibu saya.
Cenderamata ini bukan untuk anda.

Pada umumnya, bukan tidak boleh diikuti kata adjektif dan kata kerja.

(Abang bukan* gemuk.)
(Abang bukan* belajar.)

Namun begitu, jikalau sesuatu ayat majmuk ada mendukung makna pertentangan maklumat, kata nafi bukan boleh menafikan maksud frasa adjektif ataupun frasa kerja.

Mei Ling bukan kedekut, tetapi pemurah.

Seperti yang boleh dilihat di atas, walaupun kedekut ialah kata adjektif, kata nafi bukan dapat digunakan kerana ayat di atas ada maksud pertentangan maklumat antara kedua-dua frasanya.

Tidak

Kata nafi tidak hadir di hadapan kata adjektif dan kata kerja.

Sejak kecil lagi, dia pun tidak menggemari durian.
Tulisannya tidak kemas dan perlu dibaiki.