Kata Kerja

Kata kerja ialah golongan kata yang menjelaskan sesuatu usaha, kegiatan atau urusan.

Kata Kerja
Morfologi Kata Kerja

Penggolongan berdasarkan sifat aktif atau pasif

Kata kerja aktif

Kata kerja aktif hadir dalam ayat yang mengutamakan subjek asal sebagai entiti yang diterangkan.

Dia mengait buah-buahan.

Kata kerja pasif

Kata kerja pasif hadir dalam ayat yang mengutamakan objek sebagai entiti yang diterangkan.

Buah-buahan dikait oleh dia.

Penggolongan berdasarkan sifat transitif

Kata kerja transitif

Kata kerja transitif diikuti oleh objek.

Air mata membasahi pipinya.

Kata kerja tak transitif

Kata kerja tak transitif (sama ada berpelengkap atau tanpa pelengkap) tidak diikuti oleh objek.

Hujan yang asalnya lebat sekarang sudah merenyai.

Penggolongan berdasarkan pembentukan

Kata kerja tunggal

Kata kerja tunggal terdiri daripada satu perkataan sahaja.

makan
tidur

Kata kerja majmuk

Kata kerja majmuk terhasil daripada proses pemajmukan antara dua kata dasar atau lebih. Dalam bahasa Melayu, kebanyakan kata kerja majmuk dieja secara berpisah.

tolak ansur
campur baur

Kata kerja terbitan

Kata kerja terbitan terhasil daripada proses pengimbuhan dan boleh berasal daripada kata tunggal mahupun kata majmuk atau rangkaian kata.

menjengkelkan
diperbesar
berlanjutan

Kata kerja ganda

Kata kerja ganda terhasil daripada proses penggandaan, sama ada yang penuh, separa mahupun berentak.

ulang-alik
bersungguh-sungguh