Imbuhan
Imbuhan ditambahkan pada kata-kata dasar untuk menyebabkan perubahan maknanya. Kata dasar merujuk kepada perkataan yang tidak menenma sebarang imbuhan atau bentuk terbitan.
Dalam bahasa Melayu, terdapat empat jenis imbuhan:
Imbuhan Awalan
Imbuhan awalan melekat pada bahagian depan kata dasar.
Imbuhan meN- ialah imbuhan yang paling umum dalam bahasa Melayu.
Imbuhan beR- membentuk kata kerja tak transitif.
Imbuhan teR- menandakan perbuatan tidak sengaja, daya, keadaan sudah buat serta darjah penghabisan.
Imbuhan di- membina ayat pasif bagi kata ganti nama diri orang ketiga.
Imbuhan memper- dapat membentuk kata yang bermakna ‘menjadikan sebagai’ atau ‘menjadikan lebih’.
Imbuhan ke- menandakan tumpuan tindakan, bilangan ordinal atau bilangan sekelompok.
Imbuhan pe- membina kata nama bermaksud orang yang mengerjakan sesuatu.
Imbuhan peN- membentuk kata nama yang bermaksud orang yang menjawat tugas, orang yang suka akan sesuatu serta alat.
Imbuhan peR- menghasilkan kata nama yang bermaksud alat atau orang yang pekerjaannya melakukan sesuatu.
Imbuhan se- ada makna yang termasuk ‘sama’, ‘kesemua’ dan ‘satu’.
Imbuhan Akhiran
Imbuhan akhiran melekat pada bahagian belakang kata dasar.
Imbuhan -kan membentuk ayat perintah dan ayat pasif bagi kata ganti nama diri orang pertama atau kedua.
Imbuhan -i membentuk ayat perintah dan ayat pasif bagi kata ganti nama diri orang pertama atau kedua.
Imbuhan -an membawa maksud benda hasil atau penderita sesuatu kerja.
Imbuhan Apitan
Imbuhan apitan melekat pada bahagian depan dan belakang kata dasar.
Imbuhan meN-…-kan ada maksud seperti ‘menjadikan’, ‘membuat sesuatu untuk orang lain’, dan lain-lain.
Imbuhan meN-…-i ada fungsi seperti makna lokatif, menandakan penerima tindakan, ‘memberikan’ dan lain-lain.
Imbuhan beR-…-kan membawa maksud ‘menjadikan sesuatu sebagai’.
Imbuhan beR-…-an menunjukkan perbuatan antara dua pihak, perbuatan yang tidak terputus-putus dan jumlah jamak.
Imbuhan memper-…-kan membentuk kata kerja yang bermakna ‘menjadikan atau menyebabkan ada sesuatu sifat’ atau ‘menyebabkan orang lain melakukan sesuatu perbuatan’.
Imbuhan memper-…-i ada makna ‘menjadikan’ serta ‘menyebabkan’.
Imbuhan ke-…-an ada kegunaan yang banyak dan mampu melahirkan kata nama, kata kerja pasif dan kata adjektif.
Imbuhan pe-…-an menandakan peristiwa atau tempat.
Imbuhan peN-…-an penanda sesuatu proses.
Imbuhan peR-…-an lazimnya membina kata nama abstrak.
Imbuhan Sisipan
Imbuhan sisipan melekat pada bahagian tengah kata dasar.
Imbuhan sisipan -el- membentuk kata seperti celoreng、jelajah、telapak、selerak.
Imbuhan sisipan -em- membentuk kata seperti cemerlang、gemilang、temali.
Imbuhan sisipan -er- membentuk kata seperti seruling、gerigi、serabut、kerlip.
Imbuhan sisipan -in- hanya membentuk satu perkataan sahaja iaitu sinambung.