Imbuhan sisipan -in-
Imbuhan sisipan tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Dewasa ini, banyak kata yang bergabung dengan imbuhan sisipan menjadi perkataan yang sudah mantap. Terdapat empat jenis imbuhan sisipan: -el-, -em-, -er- dan -in-. Dalam bahasa Melayu, ada satu sahaja kata dasar yang dapat bergabung dengan imbuhan -in-, iaitu perkataan sambung (sinambung).
Bentuk
Ketika bergabung dengan sesuatu perkataan, imbuhan sisipan -in- akan terletak antara huruf pertama dan huruf kedua kata dasar tersebut. Oleh itu, perkataan sambung akan dijadikan sinambung.
Contoh
Imbuhan sisipan -in- hanya diimbuhkan pada satu kata sahaja, iaitu perkataan sambung.
sambung – sinambung
Hari ini, Cikgu Kwok akan mengajar para pelajar tentang sejarah Perang Dunia Kedua sebagai kesinambungan kepada kelas lepas.