Imbuhan sisipan -er-
Imbuhan sisipan tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Dewasa ini, banyak kata yang bergabung dengan imbuhan sisipan menjadi perkataan yang sudah mantap. Terdapat empat jenis imbuhan sisipan: -el-, -em-, -er- dan -in-.
Bentuk
Ketika bergabung dengan sesuatu perkataan, imbuhan sisipan -el- akan terletak antara huruf pertama dan huruf kedua kata dasar tersebut. Sebagai contoh, perkataan gigi akan dijadikan gerigi.
Namun begitu, terdapat satu perkataan dalam bahasa Melayu yang istimewa dari segi pembentukannya, iaitu kerlip (yang berasal dari kelip, bentuknya bukan kerelip).
Fungsi
Imbuhan sisipan tidak ada makna yang tertentu. Kata terbitan yang terhasil daripada sisipan kerap-kerap kali akan mengandungi makna yang berkaitan dengan kata dasar. Contohnya, gerigi (yang berasal dari gigi) membawa maksud ‘gigi-gigi tajam pada permukaan atau tepi sesuatu, seperti yang ada pada gergaji’.
Contoh
gigi – gerigi
Gigi ialah ‘struktur keras dan putih yang tumbuh di dalam mulut’. Gerigi seperti yang sudah dikatakan di atas ialah ‘gigi-gigi tajam pada permukaan atau tepi sesuatu’.
Oleh sebab kerap-kerap kali digunakan oleh tukang kayu itu, gerigi yang terdapat pada gergaji ini sudah tumpul dan tidak lagi tajam.
kelip – kerlip
Kelip membawa maksud ‘(mata) tutup sesaat sebelum terbuka semula), manakala kerlip bermakna ‘berkedip-kedip’.
Bintang-bintang yang nampaknya berkerlip di angkasa laksana mata yang terkedip-kedip apabila disinari cahaya bulan.
sabut – serabut
Sabut bermaksud ‘kulit berserat atau berjerami, seperti kulit buah kelapa’. Serabut merujuk kepada ‘bentuk yang berambu-rambu atau bercabang kecil-kecil’.
Fungsi akar serabut yang terdapat pada rimbunan di sekeliling Sungai Linggi adalah untuk menghalang berlakunya kehakisan tanah-tanih oleh air yang surut.