Imbuhan sisipan -em-
Imbuhan sisipan tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Dewasa ini, banyak kata yang bergabung dengan imbuhan sisipan menjadi perkataan yang sudah mantap. Terdapat empat jenis imbuhan sisipan: -el-, -em-, -er- dan -in-.
Bentuk
Ketika bergabung dengan sesuatu perkataan, imbuhan sisipan -em- akan terletak antara huruf pertama dan huruf kedua kata dasar tersebut. Sebagai contoh, perkataan cerlang akan dijadikan cemerlang.
Fungsi
Imbuhan sisipan tidak ada makna yang tertentu. Kata terbitan yang terhasil daripada sisipan kerap-kerap kali akan mengandungi makna yang berkaitan dengan kata dasar. Sisipan -em- sering digunakan untuk menghasilkan kata ganda berentak, seperi tali-temali, gunung-gemunung dan gilang-gemilang.
Contoh
guruh – gemuruh
Guruh merupakan ‘bunyi bising di langit seperti yang didahului oleh kilat’. Gemuruh pula ialah ‘bunyi berdegar-degar’.
Kami mendengar bunyi tepukan penonton yang gemuruh di dalam dewan tersebut sebaik sahaja pemidato itu selesai menyampaikan pidatonya.
serbak – semerbak
Serbak dan semerbak bermaksud ‘merebak ke serata tempat’.
Ketika keluarga saya tiba di kawasan pedusunan itu, kami berasa santai apabila terhidu bau bunga yang semerbak dan harum.