Imbuhan sisipan -el-
Imbuhan sisipan tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Dewasa ini, banyak kata yang bergabung dengan imbuhan sisipan menjadi perkataan yang sudah mantap. Terdapat empat jenis imbuhan sisipan: -el-, -em-, -er- dan -in-.
Bentuk
Ketika bergabung dengan sesuatu perkataan, imbuhan sisipan -el- akan terletak antara huruf pertama dan huruf kedua kata dasar tersebut. Sebagai contoh, perkataan gabah akan dijadikan gelabah.
Fungsi
Imbuhan sisipan tidak ada makna yang tertentu. Kata terbitan yang terhasil daripada sisipan kerap-kerap kali akan mengandungi makna yang berkaitan dengan kata dasar. Contohnya, gembung bermaksud ‘kembung, menjadi besar’ dan gelembung membawa makna ‘bola-bola yang berisi udara atau air’.
Contoh
coreng – celoreng
Coreng bermaksud ‘garis tebal lagi panjang’. Celoreng bermaksud ‘warna yang berloreng-loreng atau bertompok-tompok’.
Sebagai taktik memperdaya angkatan musuh, seanggota tentera yang berpakaian celorong–celoreng menyamarkan diri di dalam hutan itu yang diselubungi kehijauan dan menyembunyikan meriam mereka di bawah litupan daun.
gegak – gelegak
Gegak bermaksud ‘riuh’. Gelegak bermaksud ‘cecair mendidih kerana terlalu panas’.
Walaupun jarak antara ruang tamu dengan dapur agak panjang, kami masih dapat mendengar bunyi gelegak dari cerek itu.
jajah – jelajah
Jajah bermaksud ‘menaklukkan sesebuah daerah lain’. Jelajah bermaksud ‘pergi berjalan ke merata-rata tempat’.
Sebagai memenuhi atur cara lawatan ke tenggara Eropah, kami telah dibawa menjelajah ke beberapa negara bekas Yugoslavia dan menyaksikan pembangunan pascamerdeka yang dicapai oleh mereka.