Imbuhan peN-…-an

Imbuhan apitan peN-…-an ada dua fungsi khas, iaitu untuk membentuk kata nama yang membawa maksud sesuatu proses ataupun sesuatu tempat melakukan sesuatu. Ingatlah bahawa apitan peN-…-an ini merupakan imbuhan yang beza daripada imbuhan apitan pe-…-an dan peR-…-an. Sebagai contoh:

  • tempat boleh menjadi penempatan (jika bergabung dengan peN-…-an) atau petempatan (jika bergabung dengan pe-…-an);
  • satu boleh menjadi penyatuan (jika bergabung dengan peN-…-an) atau persatuan (jika bergabung dengan peR-…-an).
  • bujang boleh menjadi pembujangan (jika bergabung dengan peN-…-an), pebujangan (jika bergabung dengan pe-…-an) serta perbujangan (jika bergabung dengan peR-…-an).

Fungsi (1): Proses

Fungsi utama apitan peN-…-an adalah untuk membentuk kata nama yang menandakan sesuatu proses.

pembekalan
penyatuan
penghalusan
penolakan
pengembalian
penokoktambahan
penitikberatan

Pelepasan gas rumah hijau merupakan salah satu faktor utama masalah pemanasan global.

Fungsi (2): Tempat melakukan sesuatu

Makna lain apitan peN-…-an yang jarang-jarang dijumpai ialah ‘tempat melakukan sesuatu’. Sebagai contoh, penggantungan dapat menunjukkan ‘tempat menggantungkan sesuatu’ manakala pendaratan menandakan ‘tempat mendaratkan sesuatu’.