Imbuhan meN-

Bentuk

Imbuhan meN- ada enam jenis bentuk: me-, mem-, men-, meng-, meny- serta menge-. Secara umumnya, bentuknya akan bergantung pada huruf pertama kata dasar.

me-

Imbuhan meN- menjadi bentuk me- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf l、m、n、r、w、y.

melancong
memasak
menaik
meragut
mewarna
meyakin(kan)

mem-

Imbuhan meN- menjadi bentuk mem- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf b、v、f、p. Secara umumnya, huruf f atau p akan digugurkan apabila bergabung dengan imbuhan meN-.

membubuh
memvaksin
memaham(i) (kata dasar: faham)
memukul (pukul)
memesan (kata dasar: pesan)

Namun begitu, ada sesetengah perkataan yang bermula dengan huruf f dan mengekalkan huruf pertamanya.

memfitnah
memfatwa(kan)
memfantasi(kan)

Juga ada sesetengah perkataan yang bermula dengan huruf p dan mengekelkan hurufnya.

memproses
mempopular
mempraktik
memplagiat
memplaster
mempelawa
mempeduli(kan)
mempamer(kan)
mempunya(i)
mempercaya(i)
mempelopor(i)

men-

Imbuhan meN- menjadi bentuk men- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf c、d、j、t、z. Secara umumnya, huruf t akan digugurkan apabila bergabung dengan imbuhan meN-.

mencabut
mendukung
menjamin
menziarah(i)

Namun begitu, ada sesetengah perkataan yang bermula dengan huruf t dan mengekalkan huruf pertamanya, khususnya kata pinjaman.

menternak
mentertawa(kan)
mentadbir
mentafsir
mentabligh(kan)
mentakrif(kan)
mentauliah(kan)
menterjemah(kan)
mentransformasi(kan)
mentranskipsi(kan)

meng-

Imbuhan meN- menjadi bentuk meng- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf a、e、i、o、u、g、h、k、q. Secara umumnya, huruf k akan digugurkan apabila bergabung dengan imbuhan meN-.

mengalir
mengelak
mengikut
mengolah
mengulit
menggenggam
mengheret
mengqasar(kan)
mengarang (kata dasar: karang)

Namun begitu, ada sesetengah perkataan yang bermula dengan huruf k dan mengekalkan huruf pertamanya, khususnya kata pinjaman dan kata yang bermula dengan gugus konsonan kh.

mengkaji
mengkritik
mengkabul(kan)
mengkatalog(kan)
mengklasifikasi(kan)
mengkanun(kan)
mengkhusus
mengkhayal

meny-

Imbuhan meN- menjadi bentuk meny- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf s. Secara umumnya, huruf s akan digugurkan apabila bergabung dengan imbuhan meN-.

menyalin (kata dasar: salin)
menyampai(kan) (kata dasar: sampai)

Namun begitu, ada sesetengah perkataan yang bermula dengan huruf s dan mengekalkan huruf pertamanya, khususnya kata pinjaman dan kata yang bermula dengan gugus konsonan sy atau st.

mensteril
mensyampu
mensyarat(kan)
mensyukur(i)
menstabil(kan)
menswasta(kan)
mensintesis(kan)

menge-

Imbuhan meN- menjadi bentuk menge- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang ekasuku, iaitu perkataan yang memiliki satu suku kata sahaja.

mengebom
mengecat
mengelap
mengesyor(kan)
mengekhas(kan)
mengesah(kan)

Namun begitu, ada sesetengah kata ekasuku yang tidak akan menimbulkan bentuk menge-, khususnya perkataan pinjaman yang bermula dengan gugus konsonan. Dalam situasi kekecualian ini, imbuhan meN- akan mengubah berdasarkan huruf pertama kata dasar seperti biasa.

membrek
mengklik
mengklip
mengklon
memplot
menstor

Sintaksis

Kebanyakan kata kerja yang berimbuhan awalan meN- merupakan kata kerja transitif, dan perlu diikuti oleh objek.

Dia mengait buah-buahan.

Walau bagaimanapun, ada sesetengah kata kerja berawalan meN- yang bersifat tidak transitif, dan tidak perlu diikuti oleh objek.

Hujan yang asalnya lebat sekarang sudah merenyai.

Fungsi (1): Menggunakan sesuatu benda

Salah satu makna imbuhan meN- ialah ‘menggunakan sesuatu alat’, seperti yang boleh dijumpai dalam perkataan memaku, menjala, memagar.

Ali mendayung sampan di sungai itu.

Fungsi (2): Menyerupai sesuatu

Imbuhan meN- juga ada maksud ‘menyerupai sesuatu’. Sebagai contoh, mendaun ada makna ‘menyerupai daun’ dan mengekor ada makna ‘mengikuti, seperti ekor seseorang’.

Sampah sarap yang membukit itu berbau busuk.

Fungsi (3): Menuju sasaran

Selain itu, imbuhan meN- bermaksud ‘menuju sasaran’, contohnya, melaut dan menepi.m

Walaupun kabus tebal, helikopter itu masih dapat mendarat di pelantar.

Fungsi (4): Melakukan sesuatu

Secara umumnya, imbuhan meN- akan membawa maksud ‘melakukan sesuatu’, seperti mendukung, menanas, mengajar.

Ah Chong mengajar bahasa German.

Fungsi (5): Menjadi

Imbuhan meN- boleh menunjukkan perubahan keadaan, khususnya ketika diimbuhkan pada kata adjektif, seperti membesar dan menguning.

Mukanya memucat kerana dia sakit tenat.

Fungsi (6): Mengumpulkan sesuatu

Imbuhan meN- juga boleh membawa makna ‘mengumpulkan atau mengutip sesuatu’, seperti merotan dan mendamar.