Imbuhan memper-

Terbitan

Imbuhan awalan memper- lazimnya hanya melekat pada kata nama, kata adjektif, kata bilangan mahupun kata tugas.

memperkawan (kawan – kata nama)
memperdalam (dalam – kata adjektif)
memperempat (empat – kata bilangan)
memperoleh (oleh – kata tugas)

Awalan memper- tidak dapat bergabung dengan kata kerja.

memperjatuh* (jatuh – kata kerja)

Namun begitu, dalam bahasa Melayu ada satu perkataan yang menjadi kecualian, iaitu buat boleh menjadi memperbuat.

memperbuat

Fungsi (1): Menjadikan sebagai ⋯

Imbuhan awalan memper-, sewaktu bergabung dengan sesetengah kata nama, dapat menghasilkan makna ‘menjadikan sebagai’.

Peniaga dilarang memperhamba kanak-kanak sebagai buruh kasar.

Pengganas itu memperalat golongan pemuda.

Fungsi (2): Menjadikan lebih ⋯

Keduanya, ketika awalan memper- diimbuhkan pada kata adjektif, maknanya ‘menjadikan lebih atau menjadikan bertambah’.

Pekerja mempercepat kerja-kerja pembinaan bangunan tersebut.

Oleh itu, ‘mempercepat’ seperti dalam ayat di atas tidak bermaksud ‘menjadikan cepat’ tetapi ‘menjadikan lebih atau bertambah cepat’.

Fungsi (3): Membahagi kepada ⋯

Imbuhan memper- dapat melekat pada kata bilangan, untuk membentuk kata kerja yang bermaksud ‘membahagi’.

Peguam mempertiga harta benda nenek sebelum memberikannya kepada kami sebagai pusaka.

Bentuk pasif

Bentuk pasif imbuhan memper- ialah diper- (bagi kata ganti nama diri orang ketiga) atau per- (bagi kata ganti nama diri orang pertama dan kedua)。

Kolam itu diperdalam oleh Mak Cik Cheung.

Kolam itu saya perdalam.