Imbuhan memper-…-i
Menurut Tatabahasa Dewan, imbuhan apitan memper-…-i “tidak begitu produktif”. Sejumlah kata kerja berapitan memper-…-i,walaupun terdapat dalam kamus, tidak banyak digunakan dalam lisan atau penulisan. Banyak perkataan ini hanya dijumpai dalam sastera lama, seperti perkataan memperbaiki.
Bentuk
Terdapat dua kata unik dari segi bentuknya, iaitu suami dan isteri. Apabila kedua-dua perkataan ini bergabung dengan apitan memper-…-i, huruf i pada belakang kata terbitannya akan gugus. Oleh itu, ejaannya bukan mempersuamii dan memperisterii, tetapi mempersuami dan memperisteri.
Fungsi (1): Memberikan
Makna pertama apitan memper-…-i ialah ‘memberikan’, seperti memperingati yang berasal dari kata dasar ingat bermaksud ‘memberikan peringatan’.
Perayaan Krismas dirayakan oleh penganut Kristian setiap 25 Disember untuk memperingati kelahiran Nabi Isa.
Contoh lain ialah mempersenjatai yang bermakna ‘memberikan persenjataan’.
Sebuah negara yang berkuasa mungkin mempersenjatai pertubuhan pengganas tersebut.
Fungsi (2): Menjadikan
Fungsi kedua apitan memper-…-i membentuk kata kerja yang bermaksud ‘menjadikan sebagai’.
Abang saya memperisteri Emily yang dikenalinya sejak kecil lagi.
Frasa ‘memperisteri Emily’ bermaksud menjadikan Emily sebagai isteri.
Impiannya adalah untuk memperkebuni kawasan lapang itu supaya dapat menanam berbagai-bagai jenis sayur.
Frasa ‘memperkebuni kawasan lapang itu’ bermaksud menjadikan kawasan lapang itu sebagai kebun.
Bentuk pasif
Bentuk pasif imbuhan memper-…-i ialah diper-…-i (bagi kata ganti nama diri orang ketiga) atau per-…-i (bagi kata ganti nama diri orang pertama dan kedua)。
Dia berada dalam keadaan terkatung-katung kerana tidak ada tempat bergantung tetapi dipergantungi pula oleh orang lain.
Daniel saya persuami.
Awas!
Banyak yang menganggap bahawa ‘memperolehi’ sepatah perkataan yang wujud dalam bahasa Melayu. Sebenarnya, kata sendi nama ‘oleh’ tidak mampu menerima apitan memper-…-i dan oleh itu perkataan ‘memperolehi’ tidak wujud. Walau bagaimanapun, ‘oleh’ dapat bergabung dengan imbuhan awalan memper- dan menjadi ‘memperoleh’.