Imbuhan -i

Imbuhan -i merupakan salah satu imbuhan akhiran dalam bahasa Melayu. Akhiran ini lazimnya digunakan untuk membentuk:

  • Ayat perintah
  • Ayat pasif (bagi kata ganti nama diri orang pertama atau kedua)

Fungsi (1): Penanda penerima tindakan

Aspek makna akhiran -i menandakan objek yang menerima sesuatu tindakan.

(Ayat Perintah) Sila hormati ibu bapa anda.

(Ayat Pasif) Ibu bapa semestinya anda hormati.

(Ayat Perintah) Tolong sertai pertandingan muzik itu.

(Ayat Pasif) Pertandingan muzik itu kamu sertai.

Fungsi (2): Melakukan sesuatu banyak kali

Makna imbuhan -i lain ialah ‘melalukan sesuatu berkali-kali’.

(Ayat Perintah) Jangan pukuli orang lain dalam apa jua situasi.

(Ayat Pasif) Mangsa itu bukan saya pukuli.

Fungsi (3): Menuju sasaran

Akhiran -i juga membawa maksud ‘menuju sasaran’ dalam keadaan subjek bergerak.

(Ayat Perintah) Tolong naiki bas sekolah kerana kereta sudah rosak.

(Ayat Pasif) Bas sekolah terpaksa saya naiki kerana kereta bapa sudah rosak.

(Ayat Perintah) Jangan dekati kumpulan yang suka merokok itu.

(Ayat Pasif) Perigi saya dekati untuk mengambil sebaldi air.

Fungsi (4): Memberikan

Imbuhan -i juga dapat menerbitkan maksud ‘memberikan’.

(Ayat Perintah) Harap hadiahi Puan Siti cenderamata istimewa itu.

(Ayat Pasif) Puan Siti saya hadiahi cenderamata istimewa itu.

Awas!

Ayat pasif yang dibentuk oleh imbuhan akhiran -i hanya sesuai untuk kata ganti nama diri orang pertama dan kedua sahaja.

Tiap-tiap peraturan saya ikuti.
Tiap-tiap peraturan anda ikuti.

Bentuk tersebut tidak sesuai untuk membentuk ayat pasif kata ganti nama diri orang ketiga.

Tiap-tiap peraturan diikuti oleh dia.