Imbuhan beR-

Bentuk

Imbuhan beR- ada tiga jenis bentuknya: be-, ber- dan bel-.

Imbuhan beR- menjadi bentuk ber- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang tidak bermula dengan huruf r.

berjalan
bersekutu
bergabung

Imbuhan beR- menjadi bentuk be- ketika diimbuhkan pada kata dasar yang bermula dengan huruf r. Namun begitu, perkataan kerja merupakan satu kecualian dan akan bergabung dengan bentuk be- walaupun tidak bermula dengan huruf r.

berasa
berantai
berenang
berendam
bekerja*

Imbuhan beR- akan menjadi bentuk bel- apabila diimbuhkan pada kata ajar dan unjur.

belajar
belunjur

Sintaksis

Kata kerja yang berawalan beR- merupakan kata kerja tak transitif, dan tidak diikuti oleh objek, iaitu lazimnya kata nama. Contohnya:

Mei Ling amat suka bergurau dengan saudara-maranya.

Seperti yang dapat dilihat, kata kerja berawalan beR- dalam ayat di atas tidak diikuti rapat oleh objek (kata nama), tetapi diikuti oleh kata sendi nama.

Namun begitu, untuk kata kerja majmuk yang berawalan beR-, perkataan yang berimbuhan itu sememangnya akan diikuti oleh pelengkap. Pelengkap ini bukan objek: misalnya, bercampur tangan dan berterima kasih.

Fungsi (1): Melakukan sesuatu secara persendirian

Askar bersembunyi di dalam hutan.
Tiap-tiap pagi, anjing saya suka berjemur.

Fungsi (2): Melakukan sesuatu yang melibatkan beberapa pihak

Tahukah anda bahawa Kian Tan bertumbuk dengan Faisal pada minggu lepas?

Fungsi (3): Keadaan yang sudah berlaku

Baju kebaya itu sudah berjahit.

Fungsi (4): Mempunyai sesuatu

Beliau bersuami tetapi tidak beranak.

Fungsi (5): Memakai sesuatu

Laki-laki yang bersongkok itu cikgu saya untuk mata pelajaran Sejarah.

Fungsi (6): Menggunakan sesuatu

Budak itu terpaksa berbasikal sejauh lima kilometer ke sekolahnya.

Fungsi (7): Menguruskan atau mengusahakan sesuatu

Pak Cik Luqman berladang di Kelantan sejak tahun 1990-an.

Fungsi (8): Menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu

Sabarlah, pokok-pokok itu akan berbunga tidak lama lagi.

Fungsi (9): Meminta bantuan daripada

Kesemua mereka berguru kepada Datin Lee.

Fungsi (10): Bermaksud ‘banyak’

Calon politik itu menjelajah kawasan pengundiannya berbulan-bulan lamanya sebelum pilihan raya.

Fungsi (11): Menjelaskan keadaan

Orang nomad di kawasan kering-kerontang itu selalu berpanas.

Fungsi (12): Sifat atau ciri-ciri

Dia nampaknya seorang yang bersopan.

Fungsi (13): Menunjukkan bilangan dalam kumpulan

Mereka berlima adik-beradik.

Fungsi (14): Bersama-sama

Ayah berserta ibu melancong ke Hong Kong.