Burung Terbang Dipipiskan Lada (Bahasa Melayu Klasik – Bahasa Melayu Standard)

Berikut perbandingan antara teks asal (bahasa Melayu klasik) dan teks terjemahan (bahasa Melayu standard atau moden) Burung Terbang Dipipiskan Lada yang merupakan prosa tradisional yang dipelajari murid tingkatan lima (Sijil Pelajaran Malaysia).

Bahagian 1

Bahasa Melayu Klasik: Kata sahibulhikayat, maka tersebutlah perkataan Raja Benua Siam. Dari zaman dahulu kala negeri Siam itu Syahrunnuwi namanya disebut orang, dan raja-raja di bawah angin ini semuanya takluk kepadanya, dan nama rajanya Bubunya. Telah kedengaran ke benua Siam bahawa Melaka negeri besar yang tiada takluk kepadanya, maka Paduka Bubunya pun menyuruh ke Melaka hendak minta surat sembah. Maka Sultan Muzaffar Syah tiada mahu menyembah ke benua Siam. Maka Raja Benua Siam terlalu marah, lalu menyuruh berlengkap akan menyerang Melaka; Awi Cakri nama panglimanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpermanai lagi. Maka dipersembahkan orang ke bawah Duli Sultan Muzaffar Syah bahawa Raja Benua Siam menitahkan hulubalang, Awi Cakri namanya, membawa rakyat terlalu banyak tiada terpermanai banyaknya, berjalan darat terus ke hulu Pahang.

Bahasa Melayu Standard: Menurut tukang cerita, ini merupakan cerita tentang Raja Benua Siam. Sejak zaman dahulu, wilayah Siam ini dikenali sebagai Syahrunnuwi, dan segala raja di kawasan ini tunduk kepada kekuasaannya, dengan rajanya bernama Bubunya. Kabar telah sampai ke benua Siam mengenai keagungan negeri Melaka yang tidak tunduk kepada mereka. Lalu Paduka Bubunya menghantar permintaan surat hormat ke Melaka. Namun, Sultan Muzaffar Syah enggan menyerahkan hormat kepada benua Siam. Raja Benua Siam terlalu marah, lalu menyuruh rakyatnya menyediakan kelengkapan untuk menyerang Melaka; Panglimanya bernama Awi Cakri, membawa rakyat terlalu ramai sehingga tidak terkira. Ada orang mempersembahkan berita tentang Raja Benua Siam menitahkan hulubalangnya bernama Awi Cakri membawa rakyat terlalu ramai sehingga tidak terkira berjalan melalui darat terus ke hulu Pahang.

Bahagian 2

Bahasa Melayu Klasik: Maka telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka baginda menyuruh menghimpunkan segala rakyat teluk rantau berhimpun ke Melaka. Dan akan Tun Perak membawa orang Kelang ke Melaka dengan anak isterinya sekali. Maka orang Kelang berdatang sembah kepada Sultan, “Ya tuanku, segala teluk rantau yang lain semuanya menghadap dengan laki-laki juga; akan patik sekalian dibawa oleh Tun Perak dengan perempuan sekali.”

Bahasa Melayu Standard: Setelah mendengar berita itu, baginda pun menitahkan semua rakyat berkumpul di Melaka. Tun Perak membawa orang Kelang datang ke Melaka bersama-sama anak dan isteri mereka. Orang Kelang datang menyembah Sultan Muzaffar Syah, “Ya tuanku, semua rakyat datang menghadap terdiri daripada kaum lelaki, patik semua dibawa oleh Tun Perak bersama dengan isteri kami sekali.”

Bahagian 3

Bahasa Melayu Klasik: Adapun Seri Amerta itu asalnya orang Pasai, tanah Samudera namanya; sebab ia cerdik, lagi tahu berkata-kata, maka dijadikan baginda bentara, digelar baginda Seri Amerta. Maka diperbuatkan baginda satu bangku tebal, di bawah lutut baginda, di sanalah ia memikul pedang, ialah yang menyampaikan titah raja barang sesuatu.

Bahasa Melayu Standard: Sebenarnya Seri Amerta berasal dari Pasai, iaitu suatu tempat di Samudera; seorang yang bijak dan petah bercakap, lalu baginda melantikannya sebagai bentara dengan gelaran Seri Amerta. Lalu baginda menyediakannya tempat khusus, menjadikannya orang kepercayaan, diberikannya pedang dan sentiasa menjadi rang tengah raja.

Bahagian 4

Bahasa Melayu Klasik: Syahadan, pada suatu hari, maka Tun Perak datang menghadap, duduk di tanah samasama orang banyak. Maka kata bentara yang bergelar Seri Amerta kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, segala orang Kelang ini menghadap baginda mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan. Adapun orang teluk rantau yang lain semuanya menghadap laki-laki juga; adapun orang Kelang ini menghadap dibawa Tun Perak dengan membawa perempuan sekali. Mengapakah maka demikian fiil tuan?”

Bahasa Melayu Standard: Seterusnya, pada suatu hari, Tun Perak datang menghadap Duli Yang Dipertuan lalu duduk di atas tanah bersama-sama orang ramai. Seri Amerta iaitu Bentara Melaka berkata kepada Tun Perak, “Tuan Tun Perak, semua orang Kelang ini datang menghadap Duli Yang Dipertuan untuk mengadukan masalah. Sebenarnya seluruh rakyat dari negeri lain yang datang menghadap baginda hanya orang lelaki sahaja, sebaliknya orang Kelang yang dibawa oleh Tun Perak ini membawa isteri mereka sekali. Mengapakah demikian tindakan tuan?”

Bahagian 5

Bahasa Melayu Klasik: Maka tiada disahut oleh Tun Perak kata itu. Sekali lagi Seri Amerta berkata, itu oun tiada disahuti oleh Tun Perak. Genap tiga kali Seri Amerta berkata itu, maka barulah disahuti oleh Tun Perak, katanya, “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba sebilah itu juga, hendaklah baik-baik tuan hamba peliharakan, jangan diberi berkarat, jangan kemakanan matanya. Akan pekerjaan kami orang bekerja ini, di mana tuan hamba tahu? Adapun akan sekarang Duli Yang Dipertuan di dalam negeri ini dengan perempuan anak isteri dan segala perkalas. Maka benarkah pada fikir tuan hamba kami sekalian datang dengan laki-laki juga, dengan begini jauh Selat Kelang? Jikalau satu hal negeri ini, apa hisab pada kami sekalian? Sebab itulah maka segala orang Kelang ini hamba suruh bawa dengan anak isterinya sekali. Nescaya berperang dengan musuh bersungguh-sungguh hatinya; kurangkurang ia berlawankan Duli Yang Dipertuan lebih ia berlawankan anak isterinya bersungguhsungguh.”

Bahasa Melayu Standard: Tun Perak tidak menjawab pertanyaan itu. Sekali lagi Seri Amerta bertanya, namun masih juga tidak dijawab oleh Tun Perak. Cukup tiga kali Seri Amerta bertanya, barulah dijawab oleh Tun Perak, katanya “Hai Seri Amerta, tuan hamba dengan pedang tuan hamba yang sebilah itu juga, hendaklah tuan hamba jaga baik-baik, jangan dibiarkan berkarat dan jangan sampai tumpul matanya. Tentang tugas dan tanggungjawab kami ini, pasti tuan hamba tidak memahaminya? Sebenarnya sekarang Duli Yang Dipertuan ada di Melaka ini bersama-sama orang perempuan, anak isteri orang Kelang berserta segala kelengkapan. Benarkah seperti apa yang tuan fikirkan, bahawa kami yang datang jauh dari Selat Kelang bersama-sama orang-orang lelaki sahaja? Jika berlaku sesuatu perkara di negeri ini, apakah yang akan berlaku kepada kami semua? Oleh sebab itulah semua orang Kelang ini hamba suruh mereka membawa anak dan isteri mereka sekali. Oleh hal yang demikian, mereka akan berperang bersungguh-sungguh demi Duli Yang Dipertuan di samping bersungguh-sungguh mempertahankan anak dan isteri mereka.”

Bahagian 6

Bahasa Melayu Klasik: Maka oleh Seri Amerta kata Tun Perak itu semuanya dipersembahkan ke bawah Duli Yang Dipertuan. Maka baginda pun tersenyum, seraya bertitah, “Benar seperti kata Tun Perak itu.”

Bahasa Melayu Standard: Kemudian Seri Amerta menyampaikan kata-kata Tun Perak itu kepada ke bawah Duli Yang Dipertuan. Lalu baginda tersenyum sambil bertitah, “Kata-kata Tun Perak adalah benar.”

Bahagian 7

Bahasa Melayu Klasik: Maka diambil baginda sirih dari puan baginda, disuruh berikan kepada Tun Perak. Maka titah baginda kepada Tun Perak, “Bahawa Tun Perak tiada patut diam di Kelang lagi; baiklah Tun Perak diam di negeri.”

Bahasa Melayu Standard: Setelah itu baginda mengambil sirih daripada tepak sirih baginda, lalu disuruh diberikan kepada Tun Perak. Baginda bertitah kepada Tun Perak, “Bahawa Tun Perak tidak perlu kembali ke Kelang lagi, sebaliknya menetaplah di negeri melaka ini.”

Bahagian 8

Bahasa Melayu Klasik: Hatta, maka orang Siam pun datanglah, lalu perang dengan orang Melaka. Ada beberapa lamanya berperang, maka banyaklah rakyat Siam yang mati, Melaka tiada alah. Maka rakyat Siam pun kembalilah, seraya ia pulang segala rotan ikat barang-barangnya semuanya dicampakkannya di hulu Muar. Maka rotan itu pun tumbuh; itulah dinamai orang Rotan Siam, manakala pasungan kayu ara itu pun tumbuh juga, datang sekarang di hulu Muar jua, dan tumang Siam tempat bertanak itu pun tumbuh juga, datang sekarang Telah rakyat Siam sudah pulang, maka segala orang teluk rantau pun kembalilah masing-masing ke tempatnya. Maka Tun Perak tiada diberi baginda pulang lagi ke Kelang; diam di Melaka, dijadikan baginda bentara.

Bahasa Melayu Standard: Seterusnya, tentera Siam datang dan berperang dengan penduduk Melaka. Setelah beberapa lama berperang ramai tentera Siam yang terbunuh. Melaka masih tidak kalah. Lalu tentera Siam berundur, sebelum pulang mereka telah membuang semua kelengkapan dan peralatan yang diikat dengan rotan ke hulu sungai Muar. Lalu rotan itu tumbuh dan dinamakan orang Rotan Siam. malah pasungan kayu ara juga tumbuh, sehingga sekarang di hulu Muar, dan tumang Siam tempat bertanak juga tumbuh sehingga sekarang. Setelah rakyat Siam pulang, semua orang dari seluruh negeri pun kembali ke tempat masing-masing. Tun Perak tidak dibenarkan pulang lagi ke Kelang, beliau tinggal di Melaka dan dijadikan bentara oleh baginda.

Bahagian 9

Bahasa Melayu Klasik: Maka ada seorang orang Kelang mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak sedikit. Maka ia berdatang sembah ke bawah duli baginda. Maka baginda memberi titah kepada bentara Seri Amerta, menyuruh berkata kepada Tun Perak. Maka Tun Perak pun datang menghadap. Maka Seri Amerta pun berkata kepada Tun Perak, “Orang ini, ya Tuan Tun Perak, mengadukan halnya ke bawah Duli Yang Dipertuan, mengatakan dirinya teraniaya oleh Tun Perak. Mengapakah maka demikian pekerti tuan hamba?”

Bahasa Melayu Standard: Lalu, seorang rakyat Kelang mengatakan bahawa dirinya telah dianiaya oleh Tun Perak. Dia datang menghadap kepada baginda. Oleh itu, baginda telah menitahkan bentara Seri Amerta, supaya memberitahu perkara tersebut kepada Tun Perak. Maka, Tun Perak datang mengadap. Lalu Seri Amerta menyatakan kepada Tun Perak, “Wahai Tun Perak, orang ini telah mengadu kepada Duli yang Dipertuan, bahawa dirinya telah dianiaya oleh Tun Perak. Mengapakah tuan hamba berperangai sedemikian?

Bahagian 10

Bahasa Melayu Klasik: Maka diam Tun Perak tiada disahutinya kata Seri Amerta itu. Setelah tiga kali Seri Amerta berkata-kata itu, maka barulah disahutinya oleh Tun Perak, katanya, “Tuan Seri Amerta, akan tuan hamba dijadikan Yang Dipertuan Bentara, dianugerahi pedang sebilah itu jua tuan hamba peliharakan baik-baik, usahakan jangan diberi berkarat kemakanan. Akan pekerjaan kami orang memegang negeri di mana tuan hamba tahu? Jikalau sebesar tempurung sekalipun, negeri namanya; baik juga kepada kami, maka kami kerjakan, kerana Yang Dipertuan tahu akan baiknya juga kepada kami, tiada tahu akan jahatnya. Tetapi jikalau Duli Yang Dipertuan hendak mencerca hamba sebab orang itu, pecatlah hamba dahulu, maka cercakan hamba dengan dia. Jikalau hamba belum dipecat, bagaimana hamba hendak dicerca?”

Bahasa Melayu Standard: Tun Perak berdiam dan tidak menjawab pertanyaan/ kata-kata Seri Amerta. Setelah tiga kali Seri Amerta bertanya/ berkata baharulah Tun Perak menjawab, “ Tuan Seri Amerta, tuan telah dilantik menjadi Yang Dipertuan Bentara, dianugerahkan sebilah pedang dan tuan menjaga dengan sebaiknya, diusahakan supaya tidak berkarat. Kami pula bekerja menjaga negeri, adakah tuan tahu? Jika sebesar tempurung sekalipun negeri itu, tetap baik bagi kami dan kami menjaganya kerana Yang Dipertuan tahu perkara ini baik buat kami, tiada yang buruk. Tetapi jika Duli Yang Dipertuan hendak mencela/ mengeji hamba disebabkan orang itu, lucutkan jawatan hamba dahulu dan celalah hamba dengannya. Jika belum dilucutkan jawatan bagaimana hendak dicela?”

Bahagian 11

Bahasa Melayu Klasik: Syahadan, maka berkenan Sultan Muzaffar Syah mendengar kata Tun Perak itu. Pada hati baginda, “Adapun Tun Perak ini tidaklah patut jadi bentara lagi, patut menjadi Perdana Menteri.”

Bahasa Melayu Standard: Kemudian, Sultan Muzaffar Syah berasa senang hati mendengar jawapan Tun Perak. Bisik hati baginda, “Tun Perak tidak lagi sesuai menjadi bentara, beliau patut dilantik menjadi Perdana Menteri.”

Bahagian 12

Bahasa Melayu Klasik: Maka digelar baginda Paduka Raja, disuruh di seri balai setara Seri Nara Diraja. Maka Paduka Raja pun naiklah duduk dekat Seri Nara Diraja di seri balai, maka Seri Nara Diraja berkisar ke tengah. Hatta, maka Seri Nara Diraja pun pindahlah ke sebelah kanan, jadi Paduka Raja duduk pada tempat bendahara. Adapun Seri Nara Diraja pun telah tualah tiada beranak laki-laki, dan beranak dengan isterinya, anak bendahara Seri Amar Diraja itu seorang perempuan, Tun Putih namanya, diperisteri oleh Raja Abdullah; dan beranak dengan gundik seorang laki-laki, Tun Nina Madi namanya, tiada diaku oleh Seri Nara Diraja sebab takut akan isterinya. Maka Tun Nina Madi pun besarlah, beranak bercucu. Maka isteri Seri Nara Diraja pun matilah.

Bahasa Melayu Standard: Tun Perak digelar Paduka Raja dan disuruh duduk di seri balai setara dengan Seri Nara Diraja. Paduka Raja menaiki seri balai dan duduk berdekatan dengan Seri Nara Diraja. Seri Nara Diraja beralih ke tengah. Seterusnya, Seri Nara Diraja berpindah ke sebelah kanan manakala Paduka Raja duduk di tempat Bendahara. Seri Nara Diraja telah tua dan tidak mempunyai anak lelaki, namun mempunyai seorang anak perempuan bernama Tun Putih bersama dengan isterinya, anak kepada bendahara Seri Amar Diraja., telah diperisteri oleh Raja Abdullah; namun begitu Seri Nara Diraja mempunyai seorang anak lelaki dengan gundiknya, bernama Tun Nina Madi, Seri Nara Diraja tidak mengakui hal ini kerana takut akan isterinya. Tun Nina Madi membesar dan telah

berkahwin manakala isteri Seri Nara Diraja juga telah meninggal dunia.

Bahagian 13

Bahasa Melayu Klasik: Hatta, maka pada sekali peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, dihadap orang banyak. Maka Tun Nina Madi pun lalu, disuruh naik duduk dekat, lalu diribanya oleh Seri Nara Diraja. Maka kata Seri Nara Diraja pada segala orang yang duduk itu, “Tahukah tuan hamba sekalian bahawa ia ini anak hamba?”

Maka sembah segala orang banyak itu, “Sahaya semua tahu juga; oleh tuanku tiada mengaku, semua takut mengatakan dia anak tuanku.”

Bahasa Melayu Standard: Pada suatu hari peristiwa Seri Nara Diraja duduk di balai, berhadapan dengan orang ramai. Tun Nina Madi lalu dan disuruh naik untuk duduk berdekatan, lalu diriba oleh Seri Nara Diraja. Seri Nara berkata kepada semua orang yang duduk di situ, “Tahukah tuan hamba sekalian bahawa Tun Nina Madi ini anak hamba?”

Sembah semua orang, “hamba semua mengetahui hal itu juga; tuanku tidak memperkenalkannya, hamba semua takut mengatakan bahawa Tun Nina Madi anak tuanku.”

Bahagian 14

Bahasa Melayu Klasik: Maka Seri Nara Diraja pun tersenyum, Maka Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja dua orang itu menjadi orang besar, maka anak Melayu pun berbelah, setengah pada Paduka Raja, setengah pada Seri Nara Diraja, kerana kedua-duanya sama orang berasal. Maka Seri Nara Diraja tidak muafakat dengan Paduka Raja, senantiasa beringgit juga; beberapa kali lain Paduka Raja kedapatan dengan Paduka Raja dalam kampung Seri Nara Diraja. Maka Sultan Muzaffar Syah pun tahu akan perihal itu maka terlalulah dukacita baginda melihat kelakuan Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja itu. Maka fikir di dalam hati baginda, “Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besarnya tidak muafakat sama orang besar.”

Bahasa Melayu Standard: Seri Nara Diraja tersenyum. Tun Nina Madi digelar oleh Sultan Muzaffar Syah sebagai Tun Bijaya Maha Menteri. Setelah Paduka Raja dan Seri Nara Diraja menjadi pembesar negeri, anak Melayu berpecah iaitu separuh berpihak kepada Paduka Raja dan separuh lagi berpihak kepada Seri Nara Diraja kerana kedua-duanya merupakan keturunan yang mempunyai kedudukan di istana. Seri Nara Diraja tidak bersepakat dengan Paduka Raja malah selalu bermusuhan. Beberapa kali juga sering kelihatan Paduka Raja di kampung Seri Nara Diraja. Sultan Muzaffar Syah mengetahui perkara tersebut dan baginda berdukacita melihat sikap Paduka Raja dan Seri Nara Diraja. Baginda berfikir dalam hati “Jika beginilah keadaannya negeri akan musnah kerana pembesar negeri tidak bersepakat sesama sendiri.”

Bahagian 15

Bahasa Melayu Klasik: Hatta, maka baginda fikir berbicara hendak memuafakatkan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Maka baginda pun menyuruh memanggil Seri Nara Diraja; maka dia pun hadirlah. Maka titah Sultan Muzaffar Syah, “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”

Bahasa Melayu Standard: Seterusnya, baginda mencari cara untuk menyatukan Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja. Kemudian baginda pun menyuruh Seri Nara Diraja datang menghadap; lalu dia pun datang.

Bahagian 16

Bahasa Melayu Klasik: Maka sembahnya, “Jikalau ada kurnia Duli Yang Dipertuan, baiklah, tuanku.”

Maka titah baginda, “Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Bulan, anak Orang Kaya Hitam?”

Maka sembahnya, “Mohon patik tuanku.”

Maka titah baginda, “Mahukah akan Tun Rakna Sandari, saudara Paduka Raja itu?”

Maka sembahnya, “Mohon patik, tuanku.”

Maka titah baginda, “Mahukah akan Tun Kanaka, saudara Bendahara Seri Wak Raja?”

Maka sembahnya, “Mohon patik tuanku.”

Maka beberapa anak orang besar-besar dinyatakan oleh Sultan, tiada juga berkenan pada Seri Nara Diraja.

Maka titah Sultan, “Mahukah Seri Nara Diraja akan Tun Kudu, anak Bendahara Seri Wak Raja, saudara Paduka Raja?”

Maka sembahnya, “Daulat, tuanku.”

Bahasa Melayu Standard: Lalu Sultan Muzaffar Syah bertitah “Mahukah Seri Nara Diraja beristeri?”

Sembah Seri Nara Diraja, “Jika dikurniakan oleh Duli Yang Dipertuan, patik setuju, tuanku.”

Baginda bertitah “Mahukah Seri Nara Diraja mengahwini Tun Bulan, anak Orang Kaya Hitam?”

Sembah Seri Nara Diraja, “Ampunilah patik, tuanku.”

Baginda bertitah “Mahukah Seri Nara Diraja mengahwini Rakna Sandari, saudara Paduka Raja itu?”

Sembah Seri Nara Diraja, “Ampunilah patik, tuanku.”

Sembah Seri Nara Diraja, “Ampunilah patik, tuanku.”

Beberapa nama anak-anak pembesar ditanyakan oleh Sultan, tetapi tiada seorang pun yang disukai oleh Seri Nara Diraja.

Titah Sultan, “Mahukah Seri Nara Diraja mengahwini Tun Kudu, anak Bendahara Seri Wak Raja dan saudara Paduka Raja?”

Sembah Seri Nara Diraja, “Ya, tuanku.”

Bahagian 17

Bahasa Melayu Klasik: Adapun akan Tun Kudu itu diperisteri Duli Yang Dipertuan, terlalu baik rupanya, tetapi matanya juling sedikit. Telah baginda mendengar sembah Seri Nara Diraja demikian, maka dengan sesaat itu juga ditalak baginda, dihantarkan ke rumah Paduka Raja, diberi belanja, disuruh berhadir akan kahwin dengan Seri Nara Diraja.

Bahasa Melayu Standard: Tun Kudu yang diperisteri oleh Duli Yang Dipertuan mempunyai paras rupa yang cantik tetapi memiliki mata yang juling sedikit. Apabila mendengar sembah Seri Nara Diraja, dalam masa yang singkat, dijatuhkan talak oleh baginda lalu dihantar ke rumah Paduka Raja, diberi belanja dan disuruh berkahwin dengan Seri Nara Diraja.

Bahagian 18

Bahasa Melayu Klasik: Maka kata segala anak buah Seri Nara Diraja, “Bagaimana maka datuk hendak beristeri muda, kerana datuk sudah tua, dan bulu mata dengan bulu kening sudah bertemu?”

Maka kata Seri Nara Diraja, “Di mana kamu sekalian tahu? Jikalau demikian siasialah cula dibeli oleh bapaku sekali emas di benua Keling itu.”

Bahasa Melayu Standard: Lalu, semua anak buah Seri Nara Diraja berkata, “Bagaimanakah datuk hendak beristeri muda sedangkan datuk sudah tua, dan bulu mata dengan bulu kening sudah bertemu?”

Lalu Seri Nara Diraja berkata, “Di mana kamu semua tahu? Jika begitu, sia-sia sahaja azimat yang dibeli oleh bapaku dengan harga sekati emas daripada benua Keling itu?”

Bahagian 19

Bahasa Melayu Klasik: Dan telah sudah lepas idah, maka Seri Nara Diraja pun bernikah dengan Tun Kudu. Maka menjadi muafakatlah Seri Nara Diraja dengan Paduka Raja, menjadi berkasih-kasihan seperti saudara sejalan jadi.

Maka sembah Seri Nara Diraja pada Sultan Muzaffar Syah, “Tuanku, baiklah Paduka Raja dijadikan bendahara, kerana ia sedia anak bendahara.”

Maka titah baginda, “Baiklah.”

Maka Paduka Raja pun dijadikan bendahara.

Bahasa Melayu Standard: Selepas habis idah Seri Nara Diraja berkahwin dengan Tun Kudu dan hubungan Seri Nara Diraja dan Paduka Raja semakin utuh dan umpama saudara rapat. Seri Nara memberitahu Sultan Muzaffar Syah supaya melantik Paduka Raja sebagai bendahara kerana kedudukannya berketurunan bendahara.

Lalu jawab baginda, “Baiklah.”

Lalu Paduka Raja dilantik menjadi Bendahara.

Bahagian 20

Bahasa Melayu Klasik: Syahadan, Bendahara Paduka Raja itulah yang dikatakan orang bijaksana, kerana pada zaman itu tiga buah negeri yang sama besarnya: pertama, Majapahit; kedua, Pasai; ketiga, Melaka. Di dalam negeri tiga buah itu, ada tiga orang yang bijaksana; di Majapahit, Patih Aria Gajah Muda; dan di Pasai, Orang Kaya Kanayan; dan di Melaka, Bendahara Paduka Raja; dan Seri Nara Diraja menjadi penghulu bendahari.

Bahasa Melayu Standard: Setelah itu, Paduka Raja dianggap seorang yang bijaksana pada zamannya kerana sebaris dengan tiga buah kerajaan besar seperti yang pertama Majapahit, kedua Pasai, ketiga Melaka. Di ketiga wilayah itu terdapat tokoh yang terkenal dengan kebijaksanaan seperti di Majapahit terdapat Patih Aria Gjah Mada, di Pasai Orang Kaya Kenayan, dan di Melaka ada Bendahara Paduka Raja dan Seri Nara Diraja yang dilantik menjadi penghulu bendahari.

Bahagian 21

Bahasa Melayu Klasik: Hatta, berapa lamanya maka datang pula orang Siam menyerang Melaka; Awi Dicu nama panglimanya. Maka kedengaran khabarnya ke Melaka; maka dipersembahkan orang kepada Sultan. Maka baginda pun menitahkan Bendahara Paduka Raja berlengkap akan mengeluari orang Siam. Seri Bija Diraja dan segala hulubalang sekaliannya dititahkan baginda mengiringkan Bendahara Paduka Raja itu. Adapun Seri Bija Diraja itu sedia asal Melayu, Tun Hamzah namanya, asalnya daripada Muntah Lembu; ialah dipanggil orang Datuk Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, bongkok ia. Oleh sebab sangat gagah berani ia menjadi hulubalang besar, duduk di atas segala hulubalang. Telah sudah lengkap, maka Bendahara Paduka Raja pun pergilah mengeluari Siam itu, bersama-sama dengan Seri Bija Diraja, dengan segala hulubalang banyak. Maka orang Siam pun hampir ke Batu Pahat.

Bahasa Melayu Standard: Tidak beberapa lama kemudian, orang Siam datang menyerang Melaka. Panglimanya bernama Awi Dicu. Setelah mendengar khabar mereka akan ke Melaka, berita tersebut dipersembahkan kepada sultan. Baginda menitahkan Bendahara Paduka Raja membuat persediaan menentang orang Siam. Seri Bija Diraja dan semua hulubalang dititahkan oleh baginda untuk mengiring Bendahara Paduka Raja. Seri Bija Diraja berketurunan/berbangsa Melayu, namanya ialah Tun Hamzah, berasal dari Muntah Lembu ; beliau digelar Datuk Bongkok. Apabila berjalan atau duduk, beliau /dia bongkok. Oleh sebab gagah berani, beliau/ dia menjadi ketua hulubalang, berada pada kedudukan tertinggi dalam kalangan hulubalang. Apabila sudah bersedia, Bendahara Paduka Raja pergi menentang orang Siam bersama-sama Seri Bija Diraja dan semua hulubalang. Orang Siam telah hampir ke Batu Pahat.

Bahagian 22

Bahasa Melayu Klasik: Maka ada seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, terlalu berani, kelakuannya gila-gila bahasa. Maka disuruhkan oleh Bendahara Paduka Raja suluh perahu Siam itu. Maka Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya olang-oleng. Telah bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, maka dilanggarnya sekali, dua tiga buah perahu Siam alah, lalu ia terus ke sebelah; maka ia berbalik, dilanggarnya pula yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam alah. Maka Tun Umar pun kembalilah. Maka orang Siam terlalu hairan melihat kelakuan Tun Umar itu. Telah hari malam, maka Awi Dicu pun datanglah. Maka oleh Bendahara Paduka Raja segala pohon kayu bakau dan nyirih dan tumpu api-api itu sekaliannya disuruhnya tambati puntung api. Telah dipandang oleh orang Siam api tiada terbilang lagi banyaknya, maka kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tiada terbilang lagi. Jikalau ia datang apa hal kita? Sedang sebuah perahunya tadi lagi tiada terlawan oleh kita.”

Bahasa Melayu Standard: Kemudian terdapat seorang anak Seri Bija Diraja, Tun Umar namanya, sungguh amat berani, tingkah lakunya tidak berfikiran panjang (tidak malu, cepat marah, pemberani). Lalu disuruh oleh Bendahara Paduka Raja menyiasat perahu Siam itu. Kemudian Tun Umar pun pergilah dengan sebuah perahunya terumbang-ambing. Selepas bertemu dengan perahu Siam yang banyak itu, kemudian dilanggarnya sekali, dua tiga perahu Siam kalah, lalu dia terus ke sebelah; kemudian dia kembali semula, dilanggar lagi perahu yang lain, itu pun dua tiga buah perahu Siam kalah. Lalu Tun Umar pun kembalilah. Kemudian orang Siam sungguh hairan melihat tingkah laku Tun Umar itu. Setelah hari malam, Awi Dicu pun sampailah. Lalu oleh Bendahara Paduka Raja semua pokok kayu bakau dan nyirih serta tumpu api-api itu sekaliannya disuruh ikat dengan puntung api. Setelah dipandang oleh orang Siam api tidak terkira lagi banyaknya, lalu kata hulubalang Siam, “Terlalu banyak kelengkapan perahu Melaka ini, tidak terkira lagi. Andai kata mereka datang apakah nasib kita? Sedangkan sebuah perahunya tadi lagi tidak terlawan oleh kita.”

Bahagian 23

Bahasa Melayu Klasik: Maka kata Awi Dicu, “Benarlah seperti kata kamu itu; marilah kita kembali sementara belum siang ini.”

Maka segala orang Siam pun kembalilah.

Bahasa Melayu Standard: Awi Dicu menjawab, “Benar kata kamu, marilah kita pulang sementara hari belum siang.” Lalu semua orang Siam pulang.

Bahagian 24

Bahasa Melayu Klasik: Adapun perigi di Batu Pahat itu, orang Siamlah membuat dia. Maka diikut oleh Bendahara Paduka Raja sampai ke Singapura. Maka bendahara pun kembali ke Melaka menghadap Sultan Muzaffar Syah. Maka segala perihal ehwal itu sekaliannya dipersembahkan oleh bendahara Ke Bawah Duli Sultan. Maka baginda pun terlalu suka; maka baginda pun memberi persalin akan Bendahara Paduka Raja daripada pakaian yang mulia-mulia, dengan segala hulubalang yang pergi bersama-sama itu semuanya dianugerahi baginda persalin masing-masing pada kadarnya.

Bahasa Melayu Standard: Terdapat perigi di Batu Pahat telah dibuat oleh orang Siam. Diikut Bendahara Paduka Raja sampai ke Singapura. Lalu Bendahara pun kembali ke Melaka menghadap Sultan Muzaffar Syah. Seterusnya, semua perihal ehwal dipersembahkan oleh Bendahara kepada Ke Bawah Duli Sultan. Baginda sangat suka lalu memberi persalinan kepada Bendahara Paduka Raja iaitu pakaian yang baik-baik dan semua hulubalang yang bersama-sama turut dianugerahi baginda persalinan yang sepadan.

Bahagian 25

Bahasa Melayu Klasik: Adapun segala orang Siam yang kembali itu, telah ia sampai ke benua Siam, maka Awi Dicu pun masuk menghadap Paduka Bubunnya. Maka Paduka Bubunnya pun terlalu marah; maka ia sendiri hendak pergi menyerang Melaka itu. Maka ada seorang anak Paduka Bubunnya, Cau Pandan namanya. Maka ialah bercakap Ke Bawah Duli Paduka Bubunnya hendak menyerang Melaka, sembahnya “Duli Pra Cau, lengkapi patik, patiklah mengalahkan Melaka itu.”

Bahasa Melayu Standard: Selanjutnya, semua orang Siam telah sampai ke Benua Siam, lalu Awi Dicu pun menghadap Paduka Bubunnya. Paduka Bubunnya sangat marah; lantas dia sendiri hendak pergi menyerang Melaka. Selain itu, ada seorang anak Paduka Bubunnya yang bernama Cau Pandan. Dia berkata kepada Ke Bawah Duli Paduka Bubunnya yang hendak menyerang Melaka, sembahnya “Duli Pra Cau, lengkapi patik, patik akan mengalahkan Melaka.

Bahagian 26

Bahasa Melayu Klasik: Maka Paduka Bubunnya pun terlalu suka mendengar sembah Cau Pandan itu. Maka baginda pun menyuruh berlengkap kepada Pra Kelong delapan ratus sum, lain perahu kecilkecil tiada terbilang lagi, sekadar menantikan musim juga lagi.

Bahasa Melayu Standard: Paduka Bubunnya berasa sangat gembira mendengar kata-kata Cau Pandan. Baginda mengarahkan Pra Kelong bersiap sedia dengan lapan ratus kapal besar dan seberapa banyak perahu kecil, sementara menunggu masa.

Bahagian 27

Bahasa Melayu Klasik: Maka kedengaranlah ke Melaka, Cau Pandan, anak Bubunnya, akan dititahkan menyerang Melaka. Maka ada seorang hamba Allah diam di Melaka, bangsanya Arab, Sidi Arab namanya disebut orang. Maka tuan itu senantiasa bermain panah lasykar, seperti dewal orang berzikir. Barang ke mana tuan itu pergi, panah itu dibawanya. Maka tatkala itu Tuan Sidi Arab itu pun ada menghadap Sultan Muzaffar Syah. Telah tuan itu mendengar khabar Cau Pandan akan datang ke Melaka itu, maka tuan itu pun berdiri di hadapan baginda. Maka dihalakannya panahnya itu ke benua Siam. Maka kata Tuan Sidi Arab, sambil menarik panahnya itu, “Mati engkau, Cau Padan.”

Bahasa Melayu Standard: Kedengaran hingga ke Melaka bahawa Cau Pandan dan anak Bubunnya, telah dititahkan menyerang Melaka. Ada seorang hamba Allah yang tinggal di Melaka, berbangsa Arab, orang memanggilnya dengan nama Sidi Arab. Sidi Arab sentiasa bermain panah lasykar seperti lagak orang berzikir. Ke mana sahaja dia pergi, panah itu akan dibawa olehnya. Tuan Sidi Arab telah menghadap Sultan Muzaffar Syah. Dia mendapat berita bahawa Cau Pandan akan datang ke Melaka, Sidi Arab berdiri di hadapan baginda lalu panahnya itu dihalakan ke benua Siam. Sambil menarik panahnya itu, Tuan Sidi Arab berkata, “matilah kau, Cau Pandan.”

Bahagian 28

Bahasa Melayu Klasik: Maka Sultan Muzaffar Syah pun tersenyum; maka titah baginda pada Tuan Sidi Arab itu, “Jikalau sungguh mati Cau Pandan, sungguhlah tuan keramat.”

Bahasa Melayu Standard: Sultan Muzaffar Syah tersenyum lalu bertitah kepada Tuan Sidi Arab,’ Jikalau benar Cau Pandan mati, benarlah tuan orang yang mulia.”

Bahagian 29

Bahasa Melayu Klasik: Adapun Cau Pandan itu, lagi di benua Siam, maka berasa kepada dadanya seperti kena panah, maka Cau Pandan pun sakit muntahkan darah lalu mati. Maka tidaklah jadi Siam menyerang Melaka, sebab mati Cau Pandan itu. Maka itulah diperbuatkan orang nyanyi:

Cau Pandan anak Bubunnya,

Hendak menyerang ke Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si air mata.

Bahasa Melayu Standard: Cau Pandan yang berada di Benua Siam, dia berasa dadanya seperti terkena panah, Cau Pandan pun sakit memuntahkan darah lalu mati. Siam tidak jadi menyerang Melaka kerana kematian Cau Pandan. Lalu diperbuat orang nyanyi:

Cau Pandan anak Bubunnya,

Hendak menyerang ke Melaka;

Ada cincin berisi bunga,

Bunga berladung si air mata.

Bahagian 30

Bahasa Melayu Klasik: Syahadan, maka kedengaran di Melaka bahawa Cau Pandan sudah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti kena panah. Telah Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, maka titah baginda, “Sungguhlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah keramat.”

Maka beberapa puji baginda akan Tuan Sidi Arab itu dan dianugerahi baginda dengan sepertinya.

Bahasa Melayu Standard: Seterusnya, Melaka menerima perkhabaran bahawa Cau Pandan telah mati, sakitnya muntahkan darah, dadanya seperti terkena panah. Apabila Sultan Muzaffar Syah mendengar khabar itu, lalu baginda bertitah “ Benarlah Tuan Sidi Arab ini hamba Allah yang hebat/luar biasa”. Banyak pujian baginda berikan kepada Tuan Sidi Arab itu dan dianugerahi baginda dengan hadiah yang selayaknya.

Bahagian 31

Bahasa Melayu Klasik: Setelah empat puluh dua tahun lamanya Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda yang bernama Raja Abdullah itulah menggantikan kerajaan ayahanda baginda, gelar baginda di atas kerajaan, Sultan Mansur Syah, umur baginda tatkala naik raja itu dua puluh tujuh tahun. Dan baginda beristerikan anak Seri Nara Diraja yang bernama Tun Patih Nur Pualam; dan ada beranak dengan gundik baginda seorang perempuan bernama Puteri Bakal. Adapun Sultan Mansur Syah itu terlalu baik parasnya, serta dengan adilnya lagi pemurah; seorang pun raja-raja di dalam alam ini tiada sepertinya pada zaman itu.

Bahasa Melayu Standard: Selama empat puluh dua tahun Sultan Muzaffar Syah memerintah kerajaan kemudian baginda mangkat. Anakanda baginda/Sultan Muzaffar Syah yang bernama Raja Abdullah telah menggantikan ayahanda baginda. Gelaran baginda semasa memerintah ialah Sultan Mansur Syah. Baginda berumur dua puluh tujuh tahun semasa menaiki takhta. Baginda telah beristerikan anak Seri Nara Diraja yang bernama Tun Patih Nur Pualam. Sultan Mansur Syah juga memiliki seorang anak perempuan bernama Puteri Bakal yang dilahirkan oleh gundiknya. Sultan Mansur Syah itu memiliki rupa paras yang sangat tampan, bersifat adil dan pemurah. Tiada seorang pemerintah-pemerintah yang sepertinya di alam ini.

Sumber: Burung Terbang Dipipiskan Lada dalam antologi Sejarah Rindu, Kementerian Pendidikan Malaysia.